KUCHING: Penubuhan agensi-agensi pembangunan mengikut kawasan tertentu seperti yang ada di Sarawak boleh dicontohi negeri lain, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata penubuhan agensi pembangunan mengikut kawasan akan menjadikan usaha lebih fokus dengan penglibatan pemimpin tempatan yang lebih memahami keperluan kawasan mereka.

"Pada pandangan saya, ini adalah satu game changer yang harus dipelajari juga oleh negeri-negeri lain supaya ada keseimbangan pembangunan antara penduduk di kawasan luar serta dalam bandar," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan KKDW dan exco-exco luar bandar negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Sarawak telah menubuhkan beberapa agensi pembangunan antaranya Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Badan Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Badan Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) bagi memacu serta merancakkan pembangunan ekonomi kawasan tersebut.

Sementara itu, ditanya mengenai Belanjawan 2024, Ahmad Zahid berkata KKDW telah mengemukakan beberapa cadangan serta permintaan mereka kepada Kementerian Ekonomi terutamanya bagi pembangunan kawasan luar bandar.

Belanjawan 2024 dijangka akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 13 Okt ini.

-- BERNAMA