Skip to main content

Malaysia

COP31: Malaysia cadang 20 peratus pembiayaan iklim bandar disalur terus kepada komuniti

Nga berucap pada pelancaran Rethink Food. Reduce Waste. - The #OneBillion Challenge pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-31 (COP31). - Gambar Facebook Nga Kor Ming
Nga berucap pada pelancaran Rethink Food. Reduce Waste. - The #OneBillion Challenge pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-31 (COP31). - Gambar Facebook Nga Kor Ming
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan supaya sekurang-kurangnya 20 peratus daripada pembiayaan iklim bandar pelbagai hala disalurkan secara langsung kepada pihak berkuasa tempatan dan komuniti di kawasan penempatan tidak formal bagi memperkukuh keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-31 (COP31) mencadangkan penubuhan Kemudahan Iklim Bandar Terus kepada Komuniti bagi menyalurkan dana berkenaan melalui geran pukal yang diperuntukkan secara konsisten dan boleh dijangka.

“Hal berkenaan akan memperkasakan pihak berkuasa tempatan dan komuniti untuk melaksanakan langkah penyesuaian iklim yang praktikal di peringkat akar umbi, termasuk kerja-kerja pengubahsuaian bangunan bagi meningkatkan sistem penyejukan, pengurusan air hujan serta pembangunan infrastruktur berdaya tahan terhadap perubahan iklim, selain memastikan komuniti terdedah dilindungi daripada kesan perubahan iklim yang semakin meningkat,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi UN-Habitat mengenai perumahan dan tindakan iklim di Antalya, Turkiye, pada Isnin.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga berkata, perumahan berdaya tahan terhadap perubahan iklim perlu diiktiraf sebagai hak asasi manusia yang paling asas serta kemudahan untuk kepentingan awam.

Advertisement

Merujuk kepada kajian semula UN-Habitat yang mendapati bahawa 69 peratus komitmen iklim negara merangkumi aspek perumahan bandar, beliau berkata cabarannya adalah untuk menterjemahkan komitmen tersebut kepada penambahbaikan praktikal bagi penduduk di kawasan penempatan tidak formal dan komuniti rentan di seluruh dunia.

Nga berkata, pendekatan bersepadu Malaysia dalam aspek perumahan dan kerajaan tempatan membolehkan sasaran penyesuaian iklim negara dilaksanakan menerusi peraturan bangunan, langkah kecekapan tenaga serta garis panduan perancangan bandar di kesemua 156 pihak berkuasa tempatan di negara ini.

Sementara itu, ketika berucap pada pelancaran Rethink Food. Reduce Waste. - The #OneBillion Challenge, beliau menggesa penglibatan orang ramai yang lebih meluas dalam pengurusan sisa pepejal dengan menjadikan inisiatif Pengasingan Sisa di Punca (SAS) di Malaysia sebagai contoh bagaimana isi rumah dapat menterjemahkan dasar negara kepada amalan harian.

“Tahun lepas, keluarga dan komuniti di Malaysia secara kolektif mencatatkan rekod kebangsaan dengan mengumpulkan lebih 27,600 kilogram minyak masak terpakai dalam tempoh sehari, sekali gus membuktikan sisa isi rumah yang dihasilkan setiap hari mampu ditransformasikan menjadi sumber bernilai, termasuk bahan api penerbangan mampan dan tenaga hijau, sekiranya semua pihak berganding bahu,” katanya.

Nga turut mengetengahkan Blueprint Ekonomi Kitaran Malaysia 2025-2035 serta inisiatif perintis Daerah Sifar Sisa di KLCC dan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pengurusan sisa.

Beliau turut menyaksikan pelancaran Pavilion Malaysia di COP31 yang disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

COP31 yang berlangsung dari 9 hingga 20 Nov menghimpunkan pemimpin dunia, menteri, pegawai kanan kerajaan, organisasi antara kerajaan dan pelbagai hala, kumpulan masyarakat sivil, pengamal penyesuaian iklim serta tokoh belia bagi memperkukuh kerjasama global dalam tindakan menangani perubahan iklim.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement