KUALA LUMPUR : Kes baharu COVID-19 di Malaysia kembali ke empat angka berbanding tiga angka semalam, apabila 1,133 kes direkodkan pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 344,018 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, terdapat sebanyak lapan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini ialah sebanyak 14,199 kes.

Mengenai penularan jangkitan COVID-19 mengikut negeri, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi dengan pertambahan sebanyak 401 kes, diikuti Pulau Pinang (194), dan Sarawak (153).

Selain itu, terdapat pertambahan sebanyak lima kes baharu kematian menjadikan jumlah kes kematian secara keseluruhannya kini 1,265 kes.

Jumlah kes sembuh adalah sebanyak 1,148 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 328,554 kes.

Setakat ini, 161 pesakit sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 76 orang memerlukan bantuan pernafasan.