KUALA LUMPUR: Sarawak hari ini melaporkan penurunan lebih 2,000 kes positif COVID-19 berbanding Selasa selepas 1,712 kes baharu dicatatkan.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, daripada angka tersebut, hanya dua kes atau 0.12 peratus melibatkan kategori empat dan lima.

‘’713 kes atau 41.65 peratus merupakan kes kategori satu dan 997 kes atau 58.24 peratus melibatkan kes kategori dua.

‘’Tiada kes melibatkan kategori tiga namun terdapat satu kes masing-masing mewakili kategori empat dan lima,’’ katanya.

Selain itu, Kuching merekodkan kes harian tertinggi dengan 480 kes dilaporkan diikuti Bintulu (321), Miri (167), Bau (152) dan Sibu dengan 117 kes.

Manakala lima daerah merekodkan sifar kes termasuk Song, Daro, Julau, Bukit Mabong dan Tanjung Manis.

‘’Satu kematian dilaporkan melibatkan pesakit berusia 81 tahun di Hospital Sri Aman dan mempunyai ko-morbiditi seperti darah tinggi dan angin ahmar,’’ tambahnya.

BACA: COVID-19: 14,990 kes positif baharu, Selangor kembali catat kes tertinggi

Antara lain, 17 lokaliti melibatkan tujuh daerah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 21 September 2021 sehingga 3 Oktober 2021.

Ia termasuk Rumah Gevenor, Bungkang di Sri Aman, Rumah Jamban, Bilalarap, Lemanak di Lubok Antu, Rumah Jamu, Sungai Rusa di Sarikei dan Rumah Endu, Ulu Ladong di Pakan.