KUALA LUMPUR: Sabah melaporkan penurunan angka kes positif selepas mencatatkan 1,717 kes COVID-19 dalam tempoh 24 jam yang lepas.

Bagaimanapun menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, 27 kes yang dilaporkan pada Ahad merupakan kes kategori tiga, empat dan lima.

"557 kes atau 32.4 peratus merupakan pesakit kategori satu, 1,026 atau 59.8 peratus adalah dalam kategori dua.

"Sembilan kes melibatkan pesakit kategori tiga, 11 kes kategori empat dan tujuh kes merupakan kategori lima manakala 107 kes lagi masih dalam siasatan lanjut,’’ kata Masidi.

Selain itu, Kota Kinabalu melaporkan penurunan kes positif apabila melaporkan 192 kes berbanding 449 pada Sabtu.

Beberapa daerah lain turut catat penurunan termasuk Papar dengan 103 kes, Kota Marudu (100) dan Lahad Datu (99).

"Berlaku peningkatan kes di beberapa daerah termasuk di Sandakan dengan 255 kes dan Tuaran dengan 148 kes," tambahnya.

Sementara itu, 977 kes atau 56.9 peratus kes dikesan menerusi saringan kontak rapat, 464 kes saringan individu bergejala, 67 kes dari kluster sedia ada, dua kes saringan bersasar dan 207 melalui lain-lain saringan.