KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 11 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 32,125 orang, daripada 3.01 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, lima daripada 11 kes kematian yang dilaporkan itu berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 155,673 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 143,076 individu atau 91.9 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 6,118 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 6,292 kes dirawat di hospital dan 187 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 78 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 109 lagi memerlukan mesin ventilator.