Sebanyak 99 kes pulih daripada jangkitan COVID-19 setakat jam 12 tengah hari Sabtu, sekali gus mengekalkan perkembangan positif apabila melebihi kes baharu yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulah, berkata pertambahan kes pulih itu menjadikan jumlah keseluruhan sembuh daripada jangkitan COVID-19 ialah 3,762 kes atau 65.5 peratus.

Jelasnya, 51 kes baharu direkodkan setakat hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 5,742 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,882 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai 36 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 16 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.


Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan dua lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kematian di negara ini sebanyak 98 kes atau 1.7 peratus, setakat hari ini.

Mangsa merupakan lelaki dan perempuan warga tempatan masing-masing disahkan meninggal dunia pada Jumaat dan Sabtu.

“Kes kematian ke-97 (kes ke-2354) lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 28 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 25 April 2020 jam 3.53 pagi.

“Kes kematian ke-98 (kes ke-2806) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-1346 (yang merupakan anak beliau).

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 24 April 2020 jam 5.43 petang,” katanya.