KUALA LUMPUR: Semua yang akan hadir ke sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihat menjalani ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan mereka yang bergejala agar membuat pemeriksaan dan tidak menghadiri sesi mesyuarat tersebut.

Ini susulan keputusan ujian saringan yang diterima pada Khamis, yang mendapati sebanyak 11 kes positif dikesan pada hari itu - 10 melalui ujian kendiri RTK Antigen (Ag) saliva, satu melalui ujian pengesahan RT PCR.

"Sehingga jam 8 malam 29 Julai 2021, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.

"Daripada jumlah yang disaring tersebut, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif COVID-19 menjadikan secara keseluruhan 10 kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit (satu kes tengah hari, sembilan kes petang).

"Sebanyak dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan kes tidak bergejala," kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan COVID-19 tersebut.

Secara keseluruhannya, kata Dr Noor Hisham, sebanyak 11 kes positif telah dikesan semalam, iaitu 10 melalui RTK Ag saliva test kit yang dijalankan di Parlimen dan satu melalui RT PCR di fasiliti kesihatan luar.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, pada jam 12.30 tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dimaklumkan mengenai dua kes positif COVID-19 yang telah hadir ke Parlimen.

"Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada Isnin (26 Julai) hingga Rabu (28 Julai) dan dilaporkan positif COVID-19 semalam melalui ujian RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan.

"Ujian dijalankan kerana dia mengalami gejala batuk dan selesema.

"Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai 2021 menggunakan RTK Ag saliva test kit kerana dia mengalami gejala batuk," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, siasatan mendapati kedua-dua kes tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan petugas-petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula pada Isnin.

Kedua-dua kes tersebut juga negatif COVID-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.

Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan kes mendapati, kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh mesyuarat khas.

Semalam, Dr Noor Hisham mengumumkan dalam satu kenyataan, 56 kes positif COVID-19 dikesan setakat 28 Julai hasil ujian saringan yang dijalankan antara 21 dan 25 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, dua kes melibatkan Ahli Parlimen, pegawai pengiring (enam), manakala 48 kes lagi melibatkan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.