KUALA LUMPUR: Sarawak merekodkan 5,291 jangkitan harian baharu COVID-19, tertinggi yang direkodkan di negeri itu sejak wabak itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, ia sebahagian daripada 19,198 jangkitan baharu COVID-19 yang dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Selangor menjadi negeri kedua tertinggi dengan merekodkan 2,347 kes diikuti Johor (2,110).

Status terkini kes baharu COVID-19 - 12 September 2021

Sementara itu, lima negeri merekodkan kes melebihi 1,000 kes iaitu Sabah (1,717), Kelantan (1,435), Pulau Pinang (1,309), Kedah (1,256) dan Perak (1,118).

Lima buah negeri pula merekodkan bawah 1,000 kes baharu iaitu Terengganu (930), Pahang (584), Kuala Lumpur (376), Melaka (340) dan Negeri Sembilan (283).

Lain-lain negeri pula merekodkan bawah 100 kes iaitu Perlis (67), Putrajaya (32) dan Labuan (3).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sejumlah 17,326 katil bukan di unit rawatan rapi (ICU) bersamaan 75 peratus digunakan, sementara katil ICU yang digunakan adalah 78 peratus bersamaan 1,589 kes.

Tiga negeri yang merekodkan penggunaan katil bukan ICU yang tinggi adalah Selangor (3,537), Johor (2,538) dan Sabah (1,726).

Sementara tiga negeri yang merekodkan jumlah katil ICU tertinggi adalah Selangor (312), Kuala Lumpur (174) dan Sabah (150).

Memetik kemas kini yang dikeluarkan Dr Noor Hisham, sejumlah 20,980 kes sembuh dilaporkan sehingga 12 tengah hari tadi.

Selain itu, 1,298 kes kini dirawat di ICU dengan 960 daripadanya merupakan kes yang disahkan COVID-19.

Daripada jumlah itu, 744 kes memerlukan bantuan alat pernafasan dengan 300 daripadanya merupakan kes berkemungkinan dan masih dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan, daripada 19,198 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 253 kes melibatkan kategori 3, 4 dan 5.

Manakala 18,945 kes terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Data kematian, kes aktif, dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman GitHub dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.