KUALA LUMPUR: Jangkitan baharu COVID-19 dalam negara kekal berada di bawah 500 kes untuk 51 hari berturut-turut.

Berdasarkan kepada portal KKMNOW, jumlah kes pada Isnin turun sedikit ke 190, berbanding 207 kes yang dilaporkan hari sebelumnya.

Untuk Isnin, tiada kematian direkodkan berkaitan COVID-19, selama empat hari berturut-turut.

Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan pada Isnin kekal di bawah 10,000 kes iaitu sejumlah 9,219 kes, berbanding 9,206 pada hari sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 8,888 kes atau 96.4 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Keadaan kekal di mana tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 325 pesakit sedang mendapat rawatan di hospital.

Daripada jumlah itu, enam pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan tiga pesakit pula memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negara turut merekodkan 177 kes sembuh.