PUTRAJAYA:Malaysia merekodkan sebanyak 2,188 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 58,847 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah daripada jumlah itu tiada sebarang kes import dilaporkan menjadikan kesemuanya kes penularan dalam negara.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 14,353 kes,” katanya pada satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Dr Noor Hisham, Malaysia turut merekodkan pertambahan sebanyak empat kes kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian setakat ini sebanyak 341 kes.


Selangor masih merekodkan negeri tertinggi penularan COVID-19 dengan pertambahan sebanyak 1,623 kes diikuti Sabah 232 kes.

Setakat ini, 112 kes positif COVID-19 kini  menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 49 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes sembuh akibat COVID-19 di Malaysia yang direkodkan ialah sebanyak 1,673 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat COVID-19 sebanyak 44,153 kes.