KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan kematian disebabkan COVID-19 kini melebihi 30,000 orang daripada 2,580,874 kes positif yang dikesan.

Setakat malam tadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 24 lagi kematian baharu akibat wabak itu, sekali gus menjadikan jumlahnya kini 30,002 kes.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, enam daripada 24 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 68,790 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 55,026 individu atau 80 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 7,792 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 5,431 kes dirawat di hospital dan 541 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 274 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 267 lagi memerlukan mesin ventilator.