KUALA LUMPUR: Sarawak merekodkan pertambahan 250 kes positif COVID-19 terbaharu menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 9,119.

Sibu terus menyumbang angka kes harian tertinggi dengan 104 kes diikuti Kuching (43), Kapit (39), Meradong (13), Bintulu (10), Betong (sembilan), Miri (lapan), Samarahan (empat), Sebauh dan Subis (tiga), Julau, Dalat, Beluru, Selangau dan Bau (dua), serta Asajaya, Serian, Saratok, dan Song (satu).

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Jumaat, dua lagi kes kematian akibat COVID-19 turut dilaporkan melibatkan Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Bintulu.

Kedua-dua kes juga dilapor mempunyai ko-morbid kencing manis, darah tinggi, gout dan penyakit buah pinggang kronik.

“Kes kematian ke-79 merupakan kes 8,768 berusia 59 tahun yang menerima rawatan kecemasan di Hospital Betong sebelum dirujuk ke HUS dan disahkan meninggal dunia pada 24 Februari 2021.

“Manakala kes kematian ke-80 melibatkan kes 6,383 berusia 54 tahun dimasukkan ke Hospital Bintulu selepas disahkan positif COVID-19 pada 12 Februari 2021.

“Keadaan kesihatannya dilaporkan merosot dan meninggal dunia pada 26 Februari 2021,” kata kenyataan itu.

Selain itu, 26 kluster dilaporkan kekal aktif dengan tujuh daripadanya mencatatkan peningkatan kes positif.

Tambah kenyataan itu, Kluster Emperoh Jambu di Padawan merekodkan kes tertinggi dengan 38 kes menjadikan jumlah kes positif kluster ini kepada 155 setakat ini.

Sementara itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak dilanjutkan selama 14 hari bermula 1 Mac sehingga 15 Mac 2021.

Keputusan dicapai selepas menilai situasi semasa penularan kes positif COVID-19 di negeri itu.