KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan kerjasama dengan 31 hospital swasta untuk penyumberluaran rawatan sebahagian daripada pesakit bukan COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, KKM juga memperuntukkan RM27 juta pada 2021 untuk tujuan tersebut.

“Setakat 3 Februari 2021, pihak hospital swasta bercadang menyediakan 1,344 katil di wad biasa dan 65 katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Selain itu, kemudahan makmal kerajaan dan swata juga sedang digembleng untuk meningkatkan kapasiti pelaksanaan ujian saringan COVID-19.

“Pada masa ini sebanyak 68 makmal kerajaan dan swasta di negara ini mempunyai kapasiti untuk melaksanakan 76,805 ujian saringan setiap hari,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri pada Khamis.

BACA: Teks penuh penjelasan terkini Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat oleh PM

Tambah beliau, kerajaan juga akan meningkatkan lagi keupayaan makmal kerajaan dan swasta untuk melaksanakan ujian saringan COVID-19,

“Kerajaan mesti memastikan sistem kesihatan di negara kita sentiasa bersedia dan mampu untuk menampung kemasukan pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan di hospital.

“Dengan trend kenaikan kes-kes positif pada masa ini, sistem kesihatan di negara kita hampir mencapai breaking point.

“Hospital-hospital COVID-19 termasuk wad-wad Unit Rawatan Rapi telah hampir mencapai kapasiti 100 peratus. Keadaan ini mesti ditangani segera supaya sistem kesihatan negara kita tidak lumpuh,” ujarnya.

[SIDANG MEDIA] Perutusan Khas Perdana Menteri | 4 Februari 2021