KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sejumlah 334 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam Selasa.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 24,078 kes.

Ia juga mewakili 1.14 peratus daripada 2.1 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Data KKM di portal COVIDNOW memaklumkan, sejumlah 84 daripada 334 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (BID).

Bagaimanapun, jumlah kematian yang dilaporkan itu turut merangkumi sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa mingu lalu.

Tunggakan kes itu berlaku kerana proses bagi mengesahkan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat wabak itu, memakan masa.

Portal GitHub menunjukkan hanya empat kes kematian dilaporkan berlaku semalam.

Namun angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang masih belum dikemaskini.

Berdasarkan purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, trend kematian pesakit COVID-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksin serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam, sejumlah 57.1 peratus daripada keseluruhan populasi negara sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19, dan 67.7 peratus pula mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Daripada 334 kes kematian yang dilaporkan semalam, 187 daripadanya adalah di Selangor, disusuli Johor (37), Kelantan (20), Kuala Lumpur (18), Sabah (14), Pulau Pinang (7), Perak (12), Sarawak (10), Kedah (8), Pahang (7), Negeri Sembilan (5) dan Melaka (3).

Perlis, Labuan dan Putrajaya tidak merekodkan sebarang kes kematian.