KUALA LUMPUR: Sabah hari ini melaporkan pertambahan 4,794 kes positif COVID-19 dan dijangka akan terus merekodkan kes positif harian yang tinggi dalam masa terdekat.

Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, ia berdasarkan jumlah jangkitan sporadik yang tinggi dengan 3,076 kes bersamaan 64.2 peratus kes dilaporkan pada Khamis.

“Melihat kepada jumlah jangkitan sporadik dalam komuniti yang amat tinggi iaitu 3,076 kes atau hampir 64.2 peratus daripada jumlah jangkitan, adalah diramal jumlah kes harian akan terus berada dalam paras yang tinggi dalam masa terdekat,’’ katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, tiga kluster baharu melibatkan institusi pendidikan dikesan melibatkan Kluster Batu Enam di Kota Belud dan Kluster Jalan Sugut dan Kluster Kemburongoh 2 di Ranau.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif di negeri itu meningkat kepada 41 dengan satu kluster melibatkan Kluster Jalan Kepayan di Tambunan diisytiharkan tamat hari ini.

"Sebanyak 13 daerah mencatatkan kes tiga angka termasuk Kota Kinabalu dengan 904 kes, Penampang (513), Sandakan (459), Tuaran (444) dan Papar (347).

"Manakala 13 daerah lain mencatatkan kes dua angka dan Tongod hari ini menjadi satu-satunya daerah di Sabah dengan catatan sifar kes,’’ ujarnya.

Antara lain, 4,773 atau 99.56 peratus merupakan kes kategori satu dan dua, kategori tiga (11), kategori empat (sembilan) dan satu kes kategori lima.