PUTRAJAYA: Kes COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan trend penurunan dengan 5,434 kes direkodkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Menerusi ciapan di Twitter Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia kini berjumlah 2,396,121 kes.

Bahkan, kes terbaharu yang direkod pada Isnin itu merupakan yang terendah sejak 28 Jun lepas.


Semalam, Malaysia turut merekodkan penurunan jumlah kes dengan 6,145 kes direkodkan.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan daripada Dr Noor Hisham, daripada 5,434 kes direkodkan pada Isnin, 151 kes (2.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 5,283 kes (97.2 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 682 kes dengan 622 kes daripadanya disahkan COVID-19 dan 60 kes lagi disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan. 

Tambah beliau, kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula adalah sebanyak 357 kes (286 kes
disahkan COVID-19, 71 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan)

Di samping itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 8,435 kes sembuh direkodkan pada Isnin, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini adalah 2,278,955  kes.

Sementara itu, sebanyak 15 kluster baharu direkodkan pada Isnin menjadikan jumlah kluster aktif kini adalah sebanyak 656 kluster.