KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini mencatatkan 5,666 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, sedikit menurun berbanding semalam.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah sebanyak 2,431,716 kes.

Sementara itu, data COVIDNOW merekodkan pertambahan 42 lagi kes kematian dengan angka kumulatif ialah sebanyak 28,354 individu.

Jumlah itu juga termasuk 10 kes 'brought in dead' (BID) atau kes kematian di luar hospital.

Setakat ini, 601 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 299 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala jumlah kes sembuh yang direkodkan ialah 6,978 kes, sekali gus menjadikan angka kumulatif bagi kes sembuh adalah sebanyak 2,327,369.

Sementara itu, jumlah individu yang telah lengkap dua dos dan kadar vaksinasi populasi dewasa ketika ini ialah 94.5 peratus.

Sebahagian besar kes masih melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu 98.1 peratus atau 5,559 kes melibatkan pesakit tidak bergejala dan gejala ringan.

Selebihnya merupakan pesakit kategori 3, 4, dan 5 iaitu sebanyak 1.9 peratus atau bersamaan 107 kes.

Dalam pada itu, tiga kluster baharu turut dikesan dengan 539 kluster masih lagi aktif sementara 5,183 kluster telah diisytiharkan tamat,

Dua kluster direkodkan di Johor, masing-masing merupakan tempat kerja dan kumpulan berisiko tinggi.

Manakala, satu lagi kluster direkodkan di Selangor melibatkan jangkitan dalam komuniti.