Sejumlah 20 kes baharu COVID-19 dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini adalah 10,167 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 17 merupakan kes tempatan manakala tiga lagi adalah kes import.

"Daripada 17 kes penularan di dalam negara, 14 kes adalah warganegara Malaysia dan tiga kes adalah bukan warganegara," memetik kenyataan beliau.

Selain itu, turut dilaporkan satu kematian yang menjadikan jumlah kes kematian akibat COVID-19 di negara ini adalah 130 kes atau 1.28 peratus daripada keseluruhan kes positif.

"Kes kematian ke-130 (kes ke-9578) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit strok serta sukar bergerak sendiri sejak Mac 2020 akibat patah tulang utama di kaki.

"Beliau mengalami gejala demam pada 4 September 2020 namun tidak mendapatkan rawatan. Pada 7 September 2020, beliau telah dikesan sebagai kontak rapat kepada anak dan cucu beliau yang merupakan kes positif dalam Kluster Sungai (iaitu kes ke-9458 dan kes ke-9547), lalu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

"Saringan COVID-19 didapati positif pada 9 September 2020. Keadaan beliau didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Beliau disahkan meninggal dunia pada 18 September 2020 jam 5.45 petang," memetik kenyataan tersebut.

Sementara itu, jumlah mereka yang dibenarkan discaj juga mencatatkan peningkatan iaitu 51 kes dengan jumlah kumulatif mereka yang dibenarkan discaj adalah 9,315 kes (91.62 peratus).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ketika ini terdapat 12 kes yang sedang dirawat di dalam ICU di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.