KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 60 kluster perayaan yang dikesan sejak 13 Mei lalu hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 58 kluster melibatkan Aidilfitri dan dua kluster Hari Gawai.

Menurut beliau, daripada 13,023 individu yang disaring, 3,511 kes positif COVID-19 dikenal pasti dengan kadar positif adalah 27 peratus.

Tren kluster COVID-19 berkaitan sambutan perayaan dilaporkan mengikut negeri dan tarikh dilaporkan. - Sumber CPRC Kebangsaan KKM

"Daripada jumlah 3,511 kes tersebut, 20 kematian telah dilaporkan dan sehingga kini 11 kes masih dalam rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

"Negeri-negeri yang mencatatkan bilangan kluster perayaan yang tertinggi adalah Sabah dengan 11 kluster (18.3 peratus), Sarawak dengan lapan kluster (13.3 peratus), serta Kedah dengan tujuh kluster (11.7 peratus)," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, situasi peningkatan kes dan kematian yang dilaporkan bagi kluster perayaan itu dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat.

Jumlah kluster COVID-19 berkaitan sambutan perayaan mengikut negeri. - Sumber CPRC Kebangsaan KKM

"Sekiranya masyarakat masih lagi leka serta tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan tersebut, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berulang di negara kita.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung halaman dengan tidak mendedahkan mereka dengan jangkitan virus SARS-CoV2 ini," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Malaysia wajar mencontohi negara-negara jiran yang berjaya mengawal situasi pandemik COVID-19.

Katanya, ia sekali gus membuktikan bahawa dengan kerjasama antara semua pihak dan kepatuhan yang tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan, harapan untuk kembali kepada kehidupan seperti sebelum ini mampu menjadi kenyataan.