COVID-19: 7 kes baharu tidak libatkan Kluster Sivagangga

Daripada tujuh kes baharu, enam kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

Dr Noor Hisham berkata, daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara. - Gambar BERNAMA | Astro Awani
Malaysia merekodkan tujuh kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 170 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kesemua tujuh kes baharu itu tidak melibatkan Kluster Sivagangga.

"Ingin dimaklumkan daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

"Hanya satu kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia, iaitu kes saringan di tempat kerja di Negeri Sembilan.

"Beliau mempunyai sejarah bekerja di Indonesia dan telah pulang ke Malaysia pada 7 Mei 2020. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar," memetik kenyataan beliau pada Sabtu.

Menurut beliau, enam kes import tersebut adalah masing-masing dari China, Yaman, Myanmar, Jepun, Pakistan dan Mexico.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sejumlah 47 kes telah sembuh pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah mereka yang telah pulih adalah 8,775 kes.

Dalam masa sama, beliau berkata, tiada kes kematian direkodkan sekali gus menjadikan kes kematian kekal 125 kes.