KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan terhadap tujuh rumah panjang dan sebuah kampung di Sarawak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan pada Rabu, berkata PKPD berkenaan melibatkan rumah panjang dan kampung di empat daerah.

"PKPD di Kampung Melango Lama, Saratok dilaksanakan dari lima hingga 18 Mei 2021.

"Manakala untuk tujuh rumah panjang lain, PKPD akan dilaksanakan bermula enam hingga 12 Mei 2021," kata JPBN Sarawak.

Ujar kenyataan itu, tujuh rumah panjang terbabit adalah Rumah (Rh) Sali, Nanga Ngungun; Rh. Seliau, Sungai Tuah dan Rh. Inyang, Sungai Ranan yang semuanya terletak di daerah Kanowit.

Di Selangau pula melibatkan Rh. Amrose Ramping; Rh. Lenggang, Nanga Tajam, Batang Oya dan Rh. Umin, Sungai Nirai.

Di Sibu pula, ia melibatkan Rh. Monica Giri, Salim-Stabau.

Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut, Sarawak mencatatkan 419 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 33,086 kes.

"Selain itu, dua kematian turut direkodkan. Kes kematian ke-189 adalah kes ke-25,848 melibatkan seorang perempuan warga tempatan berumur 48 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sarikei kerana mengalami gejala demam dan kesukaran bernafas.

"Saringan ujian rT-PCR telah dijalankan dan dikesan positif COVID-19 pada 21 April 2021. Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 04 Mei 2021," katanya.

"Satu lagi kes kematian (kes-190) adalah merupakan kes ke-28,766. Kes melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia (rakyat Malaysia yang lahir di luar negara) berumur 58 tahun yang telah dirujuk ke Hospital Miri dari sebuah hospital swasta, hasil saringan ujian RTK Antigen yang dikesan positif COVID-19 pada 26 April 2021.

"Kes didapati mengalami gejala batuk dan sesak nafas. Sampel swab bagi ujian rT-PCR yang diambil pada 27 April 2021 didapati positif COVID-19," kata kenyataan sama.

Antara lain, dalam perkembangan sama, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan dua kluster baharu iaitu Kluster Tanjung Kibong, Sibu dan Kluster Jalan Sawit, Sarikei.

"Kedua-dua kluster ini melibatkan kawasan tempat kerja. Kluster Tanjong Kibong melibatkan sebuah syarikat penyelenggaraan dan sokongan perkapalan.

"Kluster Jalan Sawit melibatkan tempat tinggal dan asrama pekerja sebuah syarikat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di tapak operasi di Jalan Sawit, Jakar, Sarikei," kata kenyataan itu.