KUALA LUMPUR: Jangkitan baharu COVID-19 terus kekal di bawah 1,000 kes dengan 809 kes dilaporkan pada Isnin, berbanding kepada 867 kes pada hari sebelumnya.

Portal KKMNOW turut maklumkan kes kematian turun kepada enam kes, berbanding 10 kes yang dilaporkan pada Ahad.

Ia termasuk dua kematian berlaku di luar fasiliti hospital atau 'brought-in-dead' (BID).

Sementara itu, 17,972 kes aktif direkodkan pada Isnin dan daripada jumlah itu 16,772 kes atau 93.3 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala, 1,128 pesakit mendapat rawatan di hospital.

72 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), manakala 49 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negara juga mencatatkan 1,552 kes sembuh.