KUALA LUMPUR: Selepas lima hari berturut-turut melaporkan kes positif COVID-19 empat angka, Sabah menyaksikan sedikit penurunan dengan 949 kes dilaporkan pada Rabu.

Menerusi kenyataan Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, 870 kes atau 91.7 peratus daripada kategori satu dan dua manakala sembilan kes melibatkan kategori empat dan lima.

Ujarnya, kes positif yang dikesan menerusi saringan kontak rapat kekal menjadi penyumbang tertinggi angka kes positif di negeri itu.

“Kontak rapat terus menjadi penyumbang utama dengan 570 kes atau 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dilaporkan hari ini.

“Manakala 201 kes atau 21.2 peratus dikesan menerusi saringan individu bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik dan 74 kes dikesan daripada kluster-kluster sedia ada,” katanya.

Justeru, Masidi menggesa individu yang mempunyai sebarang gejala berkaitan COVID-19 untuk segera membuat ujian calitan bagi mengelakkan penularan jangkitan yang lebih meluas.

BACA: COVID-19: Rekod paling tinggi, negara catat 19,819 kes baharu

Selain itu, satu kluster baharu yang merupakan kluster komuniti dikesan di Sabah melibatkan Kluster Tempasuk di Kota Belud.

Ia selepas kes indeks yang merupakan seorang juruwang di sebuah bank menjangkiti kaum keluarga, penduduk kampung dan kontak rapatnya.

Setakat ini, 29 kes positif dikesan melibatkan kluster ini termasuk sembilan kes baharu dilaporkan hari ini.