KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan 6,709 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak pandemik kini sebanyak 2,346,303 kes.

Menurut perkongsian data COVIDNOW, kadar kematian setakat semalam adalah sebanyak 64 kes menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 27,329 kes.

Jumlah tersebut juga merangkumi kes kematian Brought in Dead (BID) iaitu sebanyak 14 kes.

Bagaimanapun, sebahagian besar kes masih melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu sebanyak 97.9 peratus atau bersamaan 6,565 kes manakala selebihnya merupakan kategori 3,4, dan 5. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Unit Rawatan Rapi (ICU) kini menempatkan seramai 762 pesakit dan daripada jumlah itu juga, 398 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Manakala jumlah kes sembuh pula mencatatkan sebanyak 10,833 kes menjadikan jumlah kes pulih kini 2,206,502. 

Mengenai perkembangan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) pula, seramai 21,305,196 individu telah lengkap dua dos vaksinasi setakat Ahad.