awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Semua ADUN Bersatu akan dilantik sebagai Exco - MB Perlis
Jumpa di London, lima kali Muhyiddin kata sedia lepaskan jawatan - Annuar
China lanjutkan pengurangan yuran visa untuk rakyat Malaysia hingga 31 Dis 2026
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Penggunaan BNPL berpotensi jejas skor kredit, kelayakan pinjaman

Bernama
Bernama
30/12/2025
10:27 MYT
Penggunaan BNPL berpotensi jejas skor kredit, kelayakan pinjaman
Penggunaan BNPL boleh memberikan kesan kepada rekod kewangan pengguna bergantung kepada cara data berkenaan dilaporkan. - Pixabay
KUALA LUMPUR: Penggunaan skim Buy Now, Pay Later (BNPL) yang semakin menjadi pilihan pengguna berpotensi mempengaruhi penilaian risiko kredit dan kelayakan pinjaman di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T. Saravanan berkata penggunaan BNPL boleh memberikan kesan kepada rekod kewangan pengguna bergantung kepada cara data berkenaan dilaporkan.
"Penggunaan BNPL boleh mempengaruhi 'profil kredit' pengguna bergantung kepada data BNPL itu direkodkan dalam sistem pelaporan kredit yang dijadikan rujukan oleh pemberi pinjaman," katanya ketika dihubungi Bernama.
Saravanan berkata pembayaran tepat pada masa perlu dilakukan untuk mencerminkan tingkah laku kewangan peminjam yang baik kerana kelewatan atau kegagalan membayar akan memberikan isyarat risiko yang lebih tinggi kepada pasaran kredit.
Kesan tunggakan BNPL turut boleh menjejaskan permohonan pinjaman perumahan, kenderaan atau peribadi kerana institusi kewangan ini akan menilai komitmen bulanan serta corak pembayaran peminjam.
"Walaupun tidak semua pinjaman 'besar' menilai BNPL dengan cara yang sama, realitinya bank menilai komitmen bulanan dan corak pembayaran tunggakan BNPL yang menambah komitmen serta menunjukkan tekanan aliran tunai," katanya.
Beliau berkata secara praktikal, rekod BNPL mula diambil kira apabila ia mula muncul dalam sumber semakan kredit dan apabila komitmen itu mempengaruhi nisbah khidmat hutang serta kemampuan bayar peminjam.
"Dengan rangka kerja baharu yang mewajibkan penyedia BNPL melaporkan data kredit pengguna kepada agensi pelaporan kredit (melalui pangkalan data berpusat), institusi kewangan akan lebih mudah melihat pola penggunaan BNPL dan prestasi bayaran pengguna sebagai sebahagian daripada penilaian risiko," katanya.
Sementara itu, Saravanan berkata BNPL turut membawa risiko perbelanjaan tanpa kawalan kerana struktur ansuran kecil boleh mewujudkan ilusi mampu milik dan mendorong pembelian impulsif, terutama apabila pengguna mengendalikan beberapa pelan BNPL serentak.
Sehubungan dengan itu, FOMCA menegaskan keperluan pendidikan kewangan yang lebih praktikal serta perlindungan struktur seperti pendedahan terma yang jelas, penilaian kemampuan bayar yang lebih tegas dan mekanisme aduan berkesan, bagi mengurus risiko penggunaan BNPL, khususnya dalam kalangan belia.
Sementara itu, seorang penuntut universiti, Nur Izzaty Yasin, 23, berkata kemudahan BNPL membantu pengguna membeli barangan keperluan tanpa perlu melunaskan bayaran secara penuh dalam satu-satu masa.
"Sebagai pelajar, saya mempunyai banyak perbelanjaan untuk diuruskan, terutamanya bagi membeli bahan rujukan tambahan dan peranti gajet yang diperlukan. Kemudahan BNPL membolehkan saya mendapatkan barangan ini tanpa perlu membayar sekali gus," katanya.
Namun, Nur Izzaty mengakui pernah menghadapi kesukaran pembayaran akibat perancangan kewangan yang lemah dan hal itu menyebabkannya dikenakan caj tambahan akibat kelewatan.
Justeru, beliau menekankan kepentingan perancangan kewangan untuk mengelakkan masalah sedemikian.
Bagi seorang operator kawalan kualiti kilang di sebuah syarikat swasta, Muhammad Adib Muhammad, 40, pula berkata BNPL membantu meringankan bebannya dalam menyediakan barang persiapan anaknya untuk kembali ke sekolah.
"Saya memang ada membuat simpanan gaji bulanan untuk membeli barang persiapan anak untuk kembali ke sekolah. Namun, jumlahnya tidak dapat menampung semua pembelanjaan itu, jadi BNPL ini serba sedikit membantu saya untuk melengkapkan pembelian barangan seperti kasut sekolah, baju sekolah dan alat-alat tulis," katanya.
Bagi mengelakkan kesukaran untuk membayar balik BNPL pula, Muhammad Adib berkata beliau merancang perbelanjaannya dan hanya menggunakan BNPL sekiranya diperlukan sahaja.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#pengguna
#BNPL
#Buy Now Pay Later
#risiko kredit
#kelayakan pinjaman
#rakyat Malaysia
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan