GOPENG:Tiada masalah untuk berkempen secara bersemuka di lapangan bagi mana-mana pilihan raya dengan syarat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak risiko penularan wabak COVID-19.

Menurut Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, saranan untuk melaksanakan kempen pilihan raya menerusi platform maya seperti di media sosial atau media arus perdana sememangnya sudah pun dipraktikkan sebelum timbulnya pandemik tersebut.

“Kita tidak seharusnya membiarkan COVID-19 mengawal kita, sebaliknya kita perlu atau mesti mengawal COVID-19.

“Kita dapati negara kita memang begitu ketat SOP berbanding dengan negara-negara lain. Kita kuarantin 14 hari, negara lain kuarantin lima hari dan Malaysia sangat serius dengan perkara tersebut,” kata beliau yang jugaMenteri Besar Perak itu.

Beliau berkata demikan kepada pemberita di Majlis Pelancaran dan Perasmian Gopine Ladang Nanas MD2 Terbesar di Perak, di Gopeng pada Khamis.

Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran tidak membenarkan kempen di lapangan bagi mana-mana pilihan raya yang akan berlangsung ketika negara masih berdepan ancaman COVID-19.

Pensyarah Kanan Pengajian Politik Di Universiti Teknologi Malaysia (Utm) Dr Mazlan Ali berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini perlu menjadi pengajaran kempen di lapangan menyebabkan peningkatan kes COVID-19.

Katanya, kempen boleh dilaksanakan menggunakan pelbagai teknologi komunikasi sedia ada termasuk media sosial atau media arus perdana.