Tiada arahan henti pembinaan menara telekomunikasi di Taman Jus Permai - Exco

Fairul Nizam (duduk, tengah) ketika hadir pada sesi Libat Urus Siri 2: Pembinaan Menara 4G Kampung Jus Permai semalam. - Foto Facebook Fairul Nizam
JASIN: Tiada arahan daripada Majlis Perbandaran Jasin dan Pejabat Daerah Jasin untuk memberhentikan pembinaan sebuah menara telekomunikasi di Taman Jus Permai di sini yang dibangunkan di bawah Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Ringkasan AI
- Tiada arahan Majlis Perbandaran Jasin dan Pejabat Daerah Jasin untuk hentikan pembinaan menara telekomunikasi di Taman Jus Permai yang dilaksanakan dibawah Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
- Pembinaan menara itu mematuhi piawaian keselamatan dan standard tinggi serta telah mendapat kebenaran daripada pemilik tanah dengan penambahbaikan termasuk penjauhan jarak dengan rumah pertama.
- Pembinaan menara itu dilihat penting untuk memperbaiki liputan capaian internet dan telekomunikasi di kawasan tersebut, memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk setempat dan institusi pendidikan di sekitarnya.
"Segala permit kelulusan termasuk aspek teknikal juga menepati syarat-syarat ditetapkan termasuk beberapa penambahbaikan dilaksanakan, antaranya jarak antara rumah pertama dengan menara itu dipanjangkan kepada 70 meter berbanding 30 meter mengikut standard ditetapkan bagi pembinaan menara itu.
"Selain itu, kami juga mengalihkan laluan masuk ke dalam kawasan menara telekomunikasi yang dibina dalam kawasan persendirian," katanya selepas Sesi Libat Urus Kedua Pembinaan Struktur Telekomunikasi di Taman Jus Permai melibatkan kehadiran lebih 20 penduduk di sini.
Pada sesi libat urus itu juga, beliau menerima memorandum bantahan pembinaan menara telekomunikasi itu daripada penduduk di kawasan berkenaan yang diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jus Permai Mohd Ariff Mat Hanafiah.
Fairul Nizam berkata sesi libat urus bersama penduduk dengan agensi terlibat bagi menerangkan pelaksanaan projek berkenaan dan mendengar kegusaran atau kemusykilan mereka khususnya terhadap kesan pembinaan menara berkenaan juga telah dilakukan sebelum ini.
Beliau berkata sebagai contoh, pada sesi kedua libat urus itu, ia melibatkan wakil dari Pejabat Daerah Jasin, Melaka ICT Holdings Sdn Bhd, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Agensi Nuklear.
Menurut Fairul Nizam, pembinaan menara telekomunikasi itu penting bagi memastikan liputan capaian internet dan telekomunikasi di kawasan itu dalam keadaan baik.
"Menara telekomunikasi itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk setempat termasuk pelajar di Institusi Latihan Perindustrian Selandar dan Kolej Komuniti Selandar serta taman perumahan di kawasan itu.
"Pembinaan menara telekomunikasi itu dijangka mengambil masa selama dua bulan melibatkan kos keseluruhan lebih RM1 juta," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penduduk kawasan itu membantah pembinaan menara telekomunikasi berkenaan yang didakwa memberi kesan negatif kepada kesihatan penduduk seperti radiasi selain harga hartanah jatuh.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


