Enam ikan paus mati terdampar di pantai terpencil New Zealand

Orang ramai cuba menyelamatkan sekumpulan ikan paus yang terdampar di pesisir pantai Farewell Spit, Golden Bay, New Zealand. - Foto REUTERS
FAREWELL SPIT: Enam ekor ikan paus ditemui mati selepas insiden terdampar secara besar-besaran di pantai terpencil Farewell Spit di Pulau Selatan New Zealand, manakala sukarelawan kini bertungkus-lumus menyelamatkan 15 ekor lagi yang masih hidup.
Sejumlah 55 ekor ikan paus jenis pilot dilaporkan terdampar pada Khamis, dan walaupun kebanyakannya berjaya kembali ke laut, 15 daripadanya kembali terdampar dan kini tersebar sepanjang kira-kira satu kilometer di pantai tersebut.
Rakaman video oleh Project Jonah, sebuah organisasi bukan untung yang membantu mamalia marin, menunjukkan sukarelawan menyiram air ke atas paus-paus itu bagi menyejukkan badan mereka.
“Apabila air pasang, kami perlu bertindak pantas untuk mengumpulkan paus-paus ini dan membawa mereka ke perairan yang lebih dalam,” kata Louisa Hawkes dari Project Jonah.
Paus pilot terkenal sebagai haiwan sosial yang mempunyai naluri semula jadi untuk saling menjaga antara satu sama lain.
Sukarelawan berharap dapat mengumpulkan kesemua 15 paus dalam satu kumpulan rapat agar mereka dapat saling mengenali semula dan berenang keluar bersama.
Cubaan untuk mengapungkan semula paus-paus itu dijadualkan pada petang ini, namun masa amat terhad.
“Kami perlu lakukan semua itu sebelum air surut semula,” tambah Hawkes.
Project Jonah turut menyeru lebih ramai sukarelawan untuk membantu dalam usaha menyelamat.
Jabatan Pemuliharaan New Zealand telah menghantar renjer, sebuah bot dan dron ke lokasi untuk memantau sebarang insiden terdampar yang mungkin berlaku lagi.
Farewell Spit, yang terletak di hujung utara Pulau Selatan, sering menjadi lokasi kejadian terdampar secara besar-besaran.
Menurut jabatan itu, kawasan tersebut merupakan “perangkap paus semula jadi” kerana bentuk pantainya yang landai dan pasang surut yang cepat, yang mudah mengelirukan paus yang sedang bermigrasi.
Pada Februari 2017, lebih 400 ekor paus pilot sirip panjang terdampar di kawasan sama, insiden terbesar dalam tempoh lebih 100 tahun di New Zealand.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


