GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menjadi individu terawal di Pulau Pinang menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini.

Kon Yeow menerima suntikan pertama di Auditorium Hospital Pulau Pinang,  Kompleks Rawatan Harian (ACC), Hospital Pulau Pinang kira-kira jam 10.25 pagi Ahad.

Beliau disuntik oleh Penyelia Jururawat HPP, Matron Hafizah Hamzah.

Ia sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri Pulau Pinang.

Turut akan menerima suntikan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk  Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri II,  Profesor Dr. P. Ramasamy.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib, Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin  Abd. Manan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar.

Jabatan Kesihatan negeri sebelum ini memaklumkan program berkenaan bakal dipecahkan kepada tiga fasa membabitkan tempoh pelaksanaan selama setahun.

Sasaran adalah meliputi 70 peratus, iaitu 1.3 juta rakyat Pulau Pinang, bagi membolehkan imuniti kelompok dibentuk.

Sehingga kini, sebanyak 15 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah dikenal pasti membabitkan tiga dewan bagi setiap daerah di negeri ini.

BACA: Vaksin COVID-19 selamat tiba di dua PSV di Pulau Pinang

Pada Ahad minggu lepas, sebanyak 16,000 dos Vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Vaksin tersebut disimpan di dua Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di negeri itu terlebih dahulu sebelum proses vaksin dibuat di 19 PPV yang ditetapkan di negeri itu.