Sebanyak lapan daripada 1,398 tapak pembinaan yang telah beroperasi diarah ditutup berikutan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memeriksa 6,363 tapak pembinaan seluruh negara dari 20 April hingga Selasa lepas dan didapati 1,398 tapak mula beroperasi dan 4,965 belum beroperasi.

"Daripada sejumlah 1,398 tapak yang telah beroperasi, sebanyak 1,118 (80 peratus) didapati mematuhi SOP, sementara 272 (19 peratus) didapati tidak patuh dan diberi amaran, manakala lapan (satu peratus) tapak pembinaan telah diarah tutup.

"Projek yang diarah tutup oleh CIDB adalah di Jalan Damai, Kampung Dato Keramat dan Mukim Batu, di Kuala Lumpur; tiga tapak pembinaan di Kedah iaitu Taman PKNK, Jalan Tun Razak, Alor Setar; mukim Kuah di Langkawi dan mukim Pulai di Baling.

"Selain itu, dua projek di Pahang iaitu Genting Permai mukim Bentong dan Bandar Tun Razak Jengka di Maran," katanya.

Menurut beliau, antara SOP yang gagal dipatuhi ialah tidak menjalankan ujian saringan COVID-19, tidak mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan 90 peratus kepatuhan SOP tidak dipraktikkan.

SOP lain yang gagal dipatuhi adalah tiada pasukan COVID-19 yang bertanggungjawab memastikan pematuhan SOP dan kontraktor tidak berdaftar dengan CIDB.

Fadillah berkata kementerian menyeru semua kontraktor agar mematuhi contoh amalan terbaik pematuhan SOP supaya lebih banyak projek pembinaan dapat mula beroperasi sepenuhnya dan memberi impak positif kepada ekonomi negara.

"Antara SOP yang perlu dipatuhi oleh setiap projek pembinaan termasuk, memastikan semua pekerja warga asing menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan bebas daripada jangkitan sebelum boleh mula bekerja.

"Pematuhan SOP ini dilihat berjaya mengesan kes-kes positif dalam kalangan pekerja binaan, sebelum mereka mula bekerja. Ini telah membolehkan mereka serta kontak rapat dikuarantin dan mengelakkan penularan wabak berkenaan," katanya.

Beliau berkata semua pekerja juga perlu diperiksa dan direkodkan suhu mereka sebelum masuk ke tapak pembinaan setiap hari, dan apa juga gejala yang dikesan menerusi saringan harian yang dibuat perlu dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan berdekatan untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, katanya tiga tapak pembinaan yang ditutup di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga 1 Jun adalah di Kampung Datuk Keramat, Jalan Ampang (31 kes positif) dan Seksyen 68, Jalan Ampang (61 kes positif) di ibu negara dan Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam. (13 kes positif).

-- BERNAMA