KUALA LUMPUR:Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi saranannya bahawa perlu ada kerjasama erat antara Kerajaan dan bukan Kerajaan, dalam usaha bersama-sama menangani masalah penularan COVID-19 di negara ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ini adalah masa yang kritikal untuk semua pihak menghentikan politik kepartian, dan memberi tumpuan kepada politik nasional.

“Saya telah cadang dahulu supaya di masa krisis ini, di masa masalah yang menimpa negara begitu berat dan menyeluruh, kita perlu kurangkan politik parti. Kita tumpukan politik nasional. Saya tertarik dengan apa yang berlaku di waktu kita adakan darurat waktu Tun Abdul Razak. Beliau berusaha untuk menarik parti-parti lawan supaya sertai kerajaan.

"Demikian juga di United Kingdom di waktu perang, Parti Konservatif sanggup kerjasama dengan Parti Buruh supaya tumpuan diberi kepada mengatasi masalah peperangan. Bukan kerana parti,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ‘sokongan bersyarat’ yang dinyatakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Pengerusi Ahli Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) di Bangunan Parlimen.

Anwar dalam ucapan perbahasannya 8 November lepas berkata, PH hanya akan menyokong Belanjawan 2021 jika ia benar-benar mengenai COVID-19.

Najib dalam ucapannya pula berkata, sokongan BN jika Kerajaan setuju meluluskan pengeluaran one-off RM10,000 dari Akaun 1 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), dan lanjutan moratorium sehingga Jun 2021.

Ketika krisis pertukaran kerajaan Februari lepas, Dr Mahathir menyuarakan pandangan agar dibentuk satu Kerajaan Perpaduan yang merentasi kepartian, bagaimanapun ia tidak mendapat sambutan.