KESATUAN Eropah (EU) sedang mengusahakan sijil hijau digital yang akan membolehkan penduduk di 27 negara blok itu memulakan perjalanan merentasi sempadan.

Susulan itu, Perdana Menteri Croatia Andrej Plenkovic menggesa program vaksinasi di semua negara EU dipercepat agar memudahkan lebih ramai pelancong dalam kalangan penduduk negara EU datang ke negaranya.

Katanya, ia bagi memberi rasa selamat kepada penduduk di Croatia apabila lebih ramai yang divaksin dan bebas melintasi sempadan EU.

"Objektif kita adalah untuk mewujudkan keadaan supaya kita boleh adakan semula musim pelancongan, sekurang-kurangnya seperti tahun lalu, atau lebih baik daripada itu.

"Lembaga pelancongan kita di Kementerian Pelancongan mempunyai slogan 'Kekal Selamat di Croatia' dan kita akan melakukan yang terbaik untuk mempercepat vaksinasi rakyat kita bagi memastikan setiap pelancong yang datang ke Croatia berasa selamat.

"Dan pada masa sama, kita menggunakan sijil digital hijau di peringkat EU, untuk membolehkan mereka yang telah pulih dari COVID-19, atau diuji negatif atau telah divaksinasi, bergerak bebas melintasi sempadan EU," katanya di Porto pada Sabtu.

Sijil Hijau Digital EU adalah infrastruktur dan teknologi yang akan membolehkan setiap negara anggota membangunkan dompet elektronik yang boleh menyimpan bukti status vaksinasi, keputusan negatif ujian koronavirus atau pemulihan dari COVID-19.

Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula Von Der Leyen berkata pada Sabtu, sijil itu sedang diusahakan untuk dilancarkan pada Jun.

Setakat ini, kira-kira 30 peratus orang dewasa di EU telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.