KOTA KINABALU:Sabah merekodkan dua lagi kes positif melibatkan pelajar di Sandakan, yang dikesan melalui kemasukan pelajar ke asrama pada 22 Jan lalu.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun kes tersebut merupakan sebahagian daripada Kluster Jalan Labuk, di daerah berkenaan yang baharu yang dikesan hari ini.

"Kes indeks merupakan pelajar yang dikesan positif melalui saringan masuk asrama pada 22 Januari 2021. Hasil saringan kontak rapat mendapati beberapa lagi rakan pelajar dan guru disahkan positif COVID-19," katanya dalam satu dalam satu kenyataan media mengenai laporan harian COVID-19 di Sabah.

Sebanyak 263 kes positif COVID-19 telah dilaporkan hari ini, dengan dua kes kematian direkodkan daripada daerah Kudat dan Sandakan.

"Daripada 263 kes COVID-19 yang dilaporkan, sebanyak 192 kes atau 73% adalah dalam kalangan kontak rapat. Dari segi aspek kawalan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, lebih ramai kontak rapat dapat dijejaki dan dibuat ujian saringan COVID-19 dan seterusnya dikenakan kuarantin.

BACA: COVID-19: 10 pelajar disahkan positif, 4 sekolah di Sandakan diarah tutup

"Langkah ini adalah lebih baik kerana ia dapat memutuskan rantaian COVID-19 dengan segera. Dari sudut lain pula, lebih ramai kontak rapat dikesan sebagai positif COVID-19 mencerminkan tahap pematuhan SOP dalam komuniti adalah rendah," jelas Masidi.

Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKP pada hari ini ialah 92.55 peratus.

Sementara itu, Masidi turut memaklumkan, penyalahgunaan surat kebenaran bertugas untuk balik kampung adalah antara penyumbang kepada peningkatan pergerakan kenderaan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah.

Masidi berkata perkara tersebut dikesan daripada golongan petugas dalam perkhidmatan perlu (essential services).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati jumlah kenderaan yang tinggi di Kota Kinabalu pada hujung minggu adalah disebabkan pergerakan kenderaan ke Kota Kinabalu dan didapati meningkat kerana Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan digabungkan sebagai satu daerah.

"Sepanjang tempoh PKP yang dilaksanakan pada tahun lepas, jumlah kenderaan yang diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) adalah dalam lingkungan 20,000 hingga 25,000 kenderaan pada setiap hari.

"Walau bagaimanapun, jumlah tersebut meningkat kepada 35,000 hingga 40,000 kenderaan setiap hari pada PKP 2.0," katanya lagi.

Jelas beliau, pada hujung minggu, jumlah kenderaan yang diperiksa meningkat kepada 60,000 kenderaan sehari.

"Sabah akan terus melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) PKP sedia ada yang telah ditetapkan sehingga 4 Februari 2021. Operasi pasar malam, pasar tamu dan pasar tani kekal tidak dibenarkan dibuka.

"Ini bagi memastikan penularan wabak pandemik COVID-19 dapat dibendung dalam kalangan masyarakat," tambah beliau.