KUALA TERENGGANU:Empat premis Telekom Malaysia Berhad (TM) di Terengganu ditutup sementara sejak Isnin hingga Sabtu ini berikutan seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19.

Pengarah Wilayah Timur TM Mohd Yazid Abd Manaf berkata premis terlibat ialah tiga di daerah Kuala Terengganu iaitu TM Jalan Sultan Ismail, TM Jalan Air Jernih dan TM Jalan Pusara manakala satu lagi premis terletak di Marang iaitu TM Medan Jaya.

"Penutupan sementara empat premis ini bagi membolehkan proses nyah kuman dan sanitasi dijalankan sepertimana garis panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kakitangan yang terlibat pula kini sedang menjalani kuarantin dan telah menerima rawatan di hospital kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pengesanan kontak rapat secara terperinci sedang dilakukan oleh KKM dengan dibantu oleh Pasukan Tindak Balas Krisis (CRT) COVID-19 TM bagi mengenal pasti dan memaklumkan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan terlibat.

"Kontak rapat yang dikenal pasti dihubungi oleh KKM bagi nasihat dan tindakan selanjutnya. Dalam pada itu, premis-premis TM yang lain di Terengganu, termasuklah premis-premis TMpoint masih beroperasi seperti biasa.

"Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada para pelanggan kami, kakitangan TM Terengganu dalam fungsi bukan kritikal telah pun bekerja dari rumah sehingga 31 Okt dengan memanfaatkan saluran digital dan alatan produktiviti dalam talian," katanya.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

-- BERNAMA