LOS ANGELES: Amerika Syarikat (AS) mengalami peningkatan kes flu dan COVID-19 di tengah-tengah musim cuti dan pakar kesihatan bimbang berhubung peningkatan risiko kesihatan yang dibawa oleh penularan penyakit pernafasan secara serentak.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS jumlah penyakit pernafasan itu menyebabkan orang ramai yang mendapatkan penjagaan kesihatan semakin meningkat di kebanyakan kawasan di negara itu, lapor Xinhua.

Pakar kesihatan berkata peningkatan penyakit itu disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk perhimpunan semasa perayaan, jumlah individu yang tidak divaksin yang tinggi dan kemunculan varian COVID-19 baharu yang berpotensi lebih mudah ditularkan.

Data terkini CDC menunjukkan aktiviti influenza bermusim adalah tinggi di Amerika Syarikat dan terus meningkat di kebanyakan wilayah di negara itu.

Menurut CDC terdapat sekurang-kurangnya 5.3 juta orang jatuh sakit dengan 54,000 orang dimasukkan ke hospital manakala 3,200 kematian akibat flu di Amerika Syarikat sepanjang musim ini.

CDC berkata bilangan kemasukan mingguan ke hospital akibat flu terus meningkat, dengan lebih 9,800 pesakit dimasukkan ke hospital kerana selesema dalam minggu yang berakhir pada 16 Dis.

Sebanyak 14 kematian kanak-kanak yang berkaitan dengan flu telah dilaporkan di AS sepanjang musim ini.

Sementara itu, subvarian COVID-19 baharu JN.1 merebak dengan pantas di Amerika Syarikat, menjadi penyumbang utama kepada kes-kes baharu COVID-19 di negara itu.

Menurut CDC JN.1 bertanggungjawab bagi lebih 44 peratus jangkitan baharu di seluruh negara, meningkat daripada 21.4 peratus yang dilaporkan sebelum ini.

CDC menganggarkan bahawa JN.1 paling banyak direkodkan di wilayah Timur Laut, termasuk New Jersey dan New York, menyumbang hampir 57 peratus daripada jumlah kes.

JN.1, yang berkait rapat dengan varian BA.2.86 yang telah dipantau oleh CDC sejak Ogos, kali pertama dikesan di Amerika Syarikat pada Sept 2023.

CDC berkata JN.1 mungkin lebih mudah ditularkan berbanding varian lain "atau lebih baik dalam mengelak sistem imun manusia berbanding varian lain".

Pakar kesihatan bimbang bahawa penularan penyakit pernafasan secara serentak boleh meningkatkan risiko kesan meluas terhadap kesihatan awam dan sistem penjagaan kesihatan.

Ia juga menggesa orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan, termasuk vaksinasi dan mematuhi garis panduan kesihatan, untuk mengurangkan penyebaran jangkitan dan mengelakkan penyakit yang teruk daripada virus.

--BERNAMA-XINHUA