KUALA LUMPUR:Tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang membangkitkan isu kos pembelian COVID-19 disifatkan sebagai tidak berasas dan tidak betul.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kos keseluruhan RM3 bilion yang diperuntukan adalah meliputi perolehan, simpanan dan logistik bagi kedua-dua vaksin yang dipersetujui kerajaan sebelum ini.

"Ini kenyataan yang tular hari ini yang kononnya dibuat atas nama Yang Berhormat Gua Musang ( Tengku Razaleigh) yang kata perolehan harga Pfizer sampai AS$2 bilion, simpanan AS$1 bilion, itu tidak berasas dan tidak betul sama sekali.

"Saya tidak boleh cakap harga sebenar sebab dia NDA (non-disclosure agreement). Ini perkara biasa Yang Berhormat Kuala Selangor (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) pun tahu," katanya ketika sesi penggulangan kementeriannya di Parlimen di sini, pada Isnin.

BACA: Vaksin COVID-19: Banyak persoalan mengenai Pfizer yang tidak terjawab - Ku Li

Terdahulu Tengku Razaleigh dalam satu kenyataan berpendapat, masih banyak perlu dijawab oleh menteri bertanggungjawab, khususnya Khairy berhubung perolehan vaksin COVID-19.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berkata, pengumuman kerajaan untuk membeli vaksin Pfizer, seolah-olah telah menggunakan keseluruhan kos RM3 bilion seperti yang dibentang dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini.

Pada 27 November lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan Pfizer bagi membolehkan negara mendapatkan 12.8 juta dos bekalan.