KUALA LUMPUR:Jika peruntukan RM3 bilion untuk memperoleh, menyimpan dan menggunakan vaksin COVID-19 Pfizer Inc hanya mencukupi untuk 20 peratus sahaja populasi rakyat Malaysia, berapa pula kos yang diperlukan untuk keseluruhan rakyat Malaysia?

Itu antara persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, yang merasakan masih banyak perlu dijawab oleh menteri bertanggungjawab, khususnya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, berhubung perolehan vaksin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata, pengumuman kerajaan untuk membeli vaksin Pfizer, seolah-olah telah menggunakan keseluruhan kos RM3 bilion seperti yang dibentang dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini.

“Khabar angin mengatakan perjanjian (antara Malaysia dan Pfizer) itu akan menggunakan duit hasil cukai rakyat sebanyak RM2 bilion semata-mata untuk membeli vaksin tersebut.

"Kos untuk pusat penyimpanan khas dan pengedaran, yang memerlukan vaksin itu disimpan di bawah suhu -80 darjah Celsius, dikatakan mencecah RM1 bilion.

“Kerajaan setakat ini tidak mendedahkan harga sebenar yang dijanjikan kepada Pfizer, dan ini akan mengakibatkan lebih banyak khabar angin tersebar.

"Adakah akan ada kos tambahan sekiranya kita menghasilkan vaksin itu di sini?” soalnya lagi.

Pada 27 Nov lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan Pfizer bagi membolehkan negara mendapatkan 12.8 juta dos bekalan.


Beliau berkata, jumlah vaksin tersebut akan dapat memenuhi keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia, dan keutamaan akan diberikan kepada petugas barisan hadapan, serta kumpulan rakyat yang berisiko tinggi.

Pada 22 Nov pula, Malaysia bersetuju menyertai Covax Facility, iaitu inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang akan menyaksikan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi negara.

Di Dewan Rakyat hari ini, Khairy berkata, bagi mencapai baki sasaran sebanyak 40% lagi, kerajaan masih di dalam proses perbincangan dan rundingan bersama syarikat-syarikat farmaseutikal pembangun vaksin COVID-19 yang lain.

Sementara itu, Ku Li turut menyoal mengenai kredibiliti Pfizer, tahap keberkesanan vaksin tersebut, serta tempoh penghasilan yang dipercepatkan akibat tekanan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Beliau mendakwa, penghasilan vaksin oleh Pfizer dan syarikat-syarikat lain telah dipercepatkan oleh Trump yang sangat memerlukan vaksin berkenaan sebagai senjata politik ketika berdepan pemilihan presiden pada November.

“Ada laporan mengatakan, vaksin Pfizer sebenarnya tidak akan menghalang penularan virus itu, sebaliknya hanya menahan simptom. Dan daya tahan vaksin itu juga tidak lama.

“Jadi, untuk apa dibeli vaksin ini sekiranya ia tidak mampu menghentikan penularan COVID-19, sehingga memaksa kita meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan dan seterusnya melumpuhkan ekonomi negara?” soalnya lagi.

BACA: UNGASS: Malaysia tegas kepentingan vaksin COVID-19

BACA: Sudah sampai masanya Malaysia bangunkan vaksin sendiri - PPIM

BACA: Kerajaan akan pastikan vaksin selamat, berkesan, stabil

Ku Li berkata, terlampau banyak kes perundangan melibatkan Pfizer, termasuk ubat-ubatan yang mengakibatkan kesan sampingan termasuk kematian.

Ujarnya lagi, ubat-ubatan berkenaan bagaimanapun tetap diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (US FDA) seperti Protonix, Prempro, Chantix, Lipitor dan Effexor walaupun mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan manusia.

“Tiada benda percuma dalam dunia ini. Vaksin COVID-19 telah dipolitikkan dengan hebat oleh Trump. Jadi apakah motif sebenar Pfizer untuk melakukan perjanjian dengan Malaysia, dan kenapa syarikat itu tidak menjalankan ujian klinikal di negara ini terlebih dahulu?

“Mengapa kerajaan kita terburu-buru menyertai perjanjian itu, dan menggunakan hampir keseluruhan dana yang diperuntukkan untuk vaksin Pfizer, sedangkan ada vaksin lain yang ternyata lebih murah dan praktikal?” soalnya lagi.

Selain itu, beliau turut membangkitkan soalan, sekiranya vaksin Pfizer benar-benar selamat, mengapa United Kingdom memberi imuniti kepada Pfizer daripada sebarang tindakan perundangan oleh pengguna di masa hadapan.

Ku Li berkata, jika kerajaan masih bertegas mahu menggunakan vaksin Pfizer, beliau mencadangkan supaya ahli-ahli kerajaan terlebih dahulu menggunakannya bagi memastikan ia benar-benar selamat untuk rakyat negara ini.

Selain itu, tambahnya, ahli-ahli perubatan, penganalisis kesihatan, serta ahli akademik yang sangat menyokong vaksin Pfizer juga dicadangkan menggunakannya terlebih dahulu.