KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat supaya tidak alpa dan sambil lewa sebaliknya perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya di bazar Ramadan dan majlis keraian umum.

Titah Baginda, rakyat perlu sentiasa berdisiplin dalam mematuhi SOP bagi mengelakkan negara dibadai ‘Tsunami COVID-19’ seperti yang berlaku di beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan apabila melihat kes positif melebihi 3,000 kes sehari.

“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat supaya tidak hilang fokus dan sentiasa berwaspada demi kesihatan dan keselamatan diri, ahli-ahli keluarga serta masyarakat.

“Ini kerana kesan gelombang keempat penularan wabak COVID-19, jika berlaku, juga akan mengancam dan meruncingkan lagi ekonomi negara serta sosio-ekonomi rakyat jelata,” titah baginda menurut kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran berhubung penutupan beberapa sekolah dan kadar pematuhan SOP di beberapa bazar Ramadan dan majlis keraian yang dilaporkan masih belum mencapai tahap memuaskan.

“Turut membimbangkan apabila adanya laporan yang menyatakan hospital swasta di Lembah Kelang kini mengalami kekurangan katil bagi menampung jumlah pesakit susulan peningkatan kes COVID-19 sejak dua minggu lalu,” titah baginda.

Meskipun kes positif meningkat, baginda menzahirkan keyakinan dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara rakyat dan kerajaan, Malaysia mampu melandaikan penularan jangkitan virus tersebut.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan supaya rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekalipun tidak bergejala.

“Rakyat sewajarnya jujur pada diri sendiri dan masyarakat dengan mematuhi arahan kuarantin dan SOP bagi mengelak kemudaratan kepada masyarakat serta negara,” menurut kenyataan itu lagi.