MIRI: Ibu bapa tidak digalakkan membawa kanak-kanak ke pusat beli belah demi memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 sentiasa dipatuhi.

Menteri Penyelaras Jawankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, pihaknya masih menerima laporan terdapat pelanggaran SOP dalam kalangan kanak-kanak.

“Saya menerima laporan bahawa ada ibu bapa yang membawa anak kecil ke pusat beli belah, bermain dan berlari tanpa memakai pelitup muka.

“Ibu bapa perlu memandang serius hal ini, elakkan daripada membawa anak-anak keluar jika tiada keperluan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar beliau, ketika ini kompleks beli belah di Miri masih dibenarkan beroperasi dengan mengehadkan bilangan pelanggan kepada 50 peratus berdasarkan kapasiti premis.

“Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis dan Majlis Daerah Marudi mengambil perhatian perkara ini serta berbincang dengan pengusaha kompleks beli belah atau pasar raya agar menetapkan kapasiti pelanggan yang masuk selain memperketatkan aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan, semua aktiviti sukan dan rekreasi secara berkumpulan tidak dibenarkan di taman awam di sekitar Bandaraya Miri dan kawasan pantai iaitu di Tanjung Lobang, Pantai Lutong, Pantai Luak, Pantai Bungai, Pantai Peliau, Pantai Kuala Sibuti dan Tusan.

Sejak 14 hari lalu, Miri masih mencatatkan kes positif kedua tertinggi di Sarawak selepas Sibu dengan 1,019 kes.