KUALA LUMPUR : Kes jangkitan baharu COVID-19 sepanjang tempoh 24 jam yang lalu menunjukkan penurunan berbanding hari sebelumnya dengan 4,854 direkodkan.

Pada Sabtu 5,859 kes baharu dilaporkan.

Pertambahan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan dalam negara akibat pandemik itu  mencecah angka 2,586,601.

Wabak COVID-19 juga, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, meragut 41 lagi nyawa sehingga Sabtu malam, menjadikan jumlah kumulatif korban di Malaysia sebanyak 29,978.


Bagaimanapun, katanya sebahagian besar kes COVID-19 yang dicatatkan melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu sebanyak 98.2 peratus atau bersamaan 4,768 kes, manakala selebihnya merupakan pesakit kategori 3,4, dan 5 iaitu sebanyak 1.8 peratus iaitu sebanyak 86 kes.

Setakat ini, Unit Rawatan Rapi (ICU) menempatkan seramai 541 kes dan daripada jumlah itu juga, 267 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes sembuh hari ini dilaporkan sebanyak 5,525 kes dengan keseluruhan kes pulih kini 2,487,809.

Pihak KKM bagaimanapun mengesan tiga lagi kluster baharu pada Ahad manakala jumlah kluster yang ditamatkan adalah 5,646.

Jumlah kluster aktif pula adalah 235.