KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught di Malaysia catat penurunan untuk hari kedua berturut-turut.

Pada Sabtu, ia susut ke 1.18 berbanding 1.19,  hari sebelumnya.

Bagaimanapun lima negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

Terengganu catat kadar tertinggi dengan 1.31, diikuti Putrajaya, Kedah, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Lapan negeri lain catat kadar antara 1.18 ke 1.10.

Sarawak dan Labuan catat kadar di bawah 1.0, sementara Perlis rekodkan satu kes baharu.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.