KUALA LUMPUR:Daerah Kapit kini dikategorikan sebagai zon merah selepas merekodkan 41 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari.

Daerah Bau dan Lundu pula dikategorikan sebagai zon jingga selepas masing-masing merekodkan penambahan 22 dan 25 kes jangkitan tempatan dalam tempoh sama.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, daerah Beluru yang sebelum ini berada dalam zon merah kini dikategorikan sebagai zon kuning selepas mencatat 20 kes jangkitan tempatan.

“Daerah Song, Dalat, Bintulu, Kanowit, Miri, Sibu dan Kuching kekal berstatus Merah dengan sejumlah 1,934 kes jangkitan tempatan.

“Sehingga kini, hanya sembilan zon hijau di Sarawak termasuk Asajaya, Limbang dan Tanjung Manis,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Sarawak hari ini melaporkan pertambahan 105 kes positif COVID-19 dengan Miri mencatat kes tertinggi dengan 20 kes.

Ia diikuti Bintulu (19), Lundu (14), Sibu (13) Kapit (11), Meradong (lapan), Song (enam), Bau Kanowit dan Serian (dua) manakala satu kes di Kuching, Samarahan, Matu, Julau, Pakan, Dalat, Beluru dan Subis.

Satu kluster baharu iaitu Kluster Bintang Daily di Meradong turut dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif di negeri itu kepada 12.

“Sehingga kini, lapan kes positif (termasuk kes indeks) dilaporkan menerusi kluster ini. Kes indeks kluster ini merupakan kes 3,612, dikesan menerusi saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Bintagor pada 23 Januari 2021 dan disahkan positif tiga hari selepas itu.

“46 individu telah disaring dengan tiga disahkan negatif manakala 35 masih menunggu keputusan ujian makmal,” kata kenyataan itu.

Antara lain, satu kematian di Hospital Sibu turut dilaporkan melibatkan kes 3,285 yang dimasukkan ke hospital pada 22 Januari 2021 dan meninggal dunia pada 31 Januari 2021.

Kes yang berusia 77 tahun turut mempunya ko-morbid seperti masalah paru-paru kronik tahap empat, darah tinggi dan gout.