KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawahnya untuk meningkatkan bilangan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah diwartakan.

KDN menjelaskan, arahan itu juga dikeluarkan bagi memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat dibendung dengan lebih berkesan dan menyeluruh, terutamanya menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilitri pada minggu hadapan.

"Selain daripada menambahkan bilangan kekuatan anggota serta operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di lapangan, pemantauan ketat juga akan dijalankan bagi menghalang individu yang mengambil kesempatan untuk merentas negeri atau daerah menggunakan pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail ataupun melalui perkhidmatan e-hailing.

"Kementerian menyeru agar semua pihak untuk terus mematuhi SOP-SOP yang telah diputuskan oleh Kerajaan dan memberikan kerjasama jitu terhadap segala usaha dan langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman pandemik COVID-19," jelas kementerian itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas kenyataan itu lagi, semenjak PKP dilaksanakan dan sehingga kini, seramai 100,980 orang anggota dari pelbagai Jabatan dan agensi KDN telah terlibat dalam penugasan COVID-19.

Antara agensi dan jabatan di bawah KDN adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), PENJARA, RELA, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK), dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).