KUALA LUMPUR: Penurunan jumlah sampel ujian COVID-19 adalah disebabkan kelewatan makmal memasukkan data kes negatif di dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

Data SIMKA yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam Twitternya, menunjukkan 82,635 sampel ujian menggunakan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) dan RTK Antigen direkodkan semalam.


COVID-19 | Penurunan sampel sebab lewat masuk data negatif

Sementara katanya, sebanyak 72,695 sampel ujian direkodkan kelmarin iaitu paling rendah dalam tempoh 14 hari sejak 26 Mei lalu.

Pun begitu, katanya, jumlah sampel ujian COVID-19 yang dilaksanakan di negara ini masih memadai dengan tanda aras ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


"Isu yang kerap dihadapi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) ialah makmal bukan KKM yang lewat untuk masukkan data kes negatif ke SIMKA setiap hari, terutama pada hari cuti.

"Kes positif cepat dimaklumkan. Namun begitu, kes harian yang dijalankan memadai dengan tanda aras WHO," katanya melalui Twitternya di sini, pada Rabu.

Beliau mendedahkan, kes negatif di Malaysia adalah mungkin lebih daripada apa yang dilaporkan.

Katanya, bagi tanda aras ujian COVID-19, pihak WHO menetapkan ujian yang memadai adalah bagi setiap kes positif sekurang-kurangnya 10 kes negatif dan sebaik-baiknya 30 kes negatif.