KUALA TERENGGANU: Hampir setiap hari ada sahaja kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan dan kehilangan orang tersayang pastinya meninggalkan kesan mendalam pada sesiapa sahaja.

Malang bagi ahli keluarga mangsa COVID-19, mereka terpaksa menerima hakikat tidak dapat bersama menguruskan jenazah orang tersayang.

Bukan sahaja ahli keluarga tidak dapat melihat wajah mangsa untuk kali terakhir, malah terpaksa menaruh sepenuh kepercayaan kepada pasukan perubatan untuk menyempurnakan pengebumian.

Bagi Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, setiap kematian akibat COVID-19 adalah sangat menyayat hati.

Apabila disahkan positif COVID-19, mereka terus keseorangan di dalam wad, tidak boleh dilawati apalagi ditemani ahli keluarga.

"Apabila meninggal, mereka juga keseorangan kerana bukan ahli keluarga yang menguruskan mereka sebaliknya disempurnakan oleh petugas kesihatan dan agensi lain.

"Apabila insiden itu berlaku, ahli keluarga hanya mampu melihat sayu dari kejauhan, sama ada mereka sendiri sedang dikuarantin di Pusat Kurantin atau sedang dirawat sebagai pesakit COVID-19," katanya.

Nor Azimi dalam pada itu memaklumkan dua kes kematian terbaharu akibat COVID-19 melibatkan dua lelaki dari daerah Besut pada Ahad.

Katanya, ia melibatkan mangsa berusia 73 tahun dari Kampung Gong Macang, Beting Lintang dan seorang lelaki berusia 52 tahun dari Kampung Dengir, Bukit Puteri.

Jelas Nor Azimi, kematian 'misteri' kedua-dua mereka hanya berselang dua jam ketika mendapatkan rawatan.

"Majoriti warga tua hanya duduk di rumah, namun dari mana pula mereka mendapat jangkitan ini," katanya lagi.

Justeru, Nor Azimi mengingatkan penduduk di Besut agar kekal duduk di rumah jika tiada urusan penting, dan patuhi arahan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.