KUALA LUMPUR: Kawalan sempadan dalam usaha mengekang penularan COVID-19 adalah antara kejayaan terbesar dalam tempoh setahun pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu adalah hasil kejayaan penubuhan National Task Force (NTF) untuk memastikan kedaulatan negara dilindungi daripada sebarang ancaman dan pencerobohan luar.

Beliau berkata sejak 1 Mei 2020 hingga 28 Februari lalu, sebanyak 6,737 kes berjaya dipatahkan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) melibatkan tangkapan, rampasan, pengusiran, penglihatan dan rompakan laut dengan nilai rampasan berjumlah RM307 juta.

Menurutnya, menerusi tangkapan dalam Op Benteng, seramai 12,121 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 922 tekong berjaya ditahan.

“Daripada jumlah itu, Indonesia mencatatkan jumlah tangkapan PATI tertinggi iaitu 5,538 orang diikuti Myanmar 1,571 dan Bangladesh 867 orang.

“Statistik rampasan dalam Op Benteng pula meliputi seramai 525 orang penyeludup, 322 buah bot atau kapal dan 1,469 kenderaan darat.

“Selain itu, sebanyak 616 buah bot atau kapal, 1,299 PATI dan sembilan orang tekong diusir menerusi operasi sama,” katanya dalam sidang media khas sempena setahun Malaysia Prihatin, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kesiagaan aset serta anggota ATM dalam pelaksanaan Op Benteng sentiasa menjadi keutamaan kementerian.

Justeru, katanya, beberapa perancangan perolehan aset dibuat untuk memperkasakan kawalan keselamatan di sempadan.

“Pada tahun lalu, ATM telah memperoleh 11 unit Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan satu unit Multipurpose Boat untuk kegunaan kawalan sempadan di kawasan perairan.

“Pada awal tahun ini, ATM telah menerima sebanyak 27 unit All Terrain Vehicle (ATV) bertujuan untuk membantu meningkatkan aspek mobility dalam penugasan Op Benteng di sempadan Negara.

“Selain itu, kita juga dijangkan akan menerima aset-aset tambahan lain seperti enam unit Interceptor Craft (FIC) dan 63 unit truck 1 tonne GS Cargo,” jelasnya.