KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti melibatkan negeri Pahang, Johor, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di semua lokaliti itu akan bermula pada 12 Jun sehingga 25 Jun.

"PKPD diumum di tiga taman perumahan di Temerloh, Pahang iaitu Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur.

"Selain itu PKPD juga akan dilaksanakan di Ladang Tereh Mill, Kluang, Johor, Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan, Sabah, Kampung Kolong 2, Kuching, Sarawak dan Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu kata Ismail Sabri, kerajaan turut mengumumkan penamatan PKPD di Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu, Mukim Sitiawan, Manjung, Perak, Kampung Mook, Kinarut, Papar, Sabah dan  Kampung Baru Durok, Keningau, Sabah pada 11 Jun seperti yang dijadualkan.

Sementara PKPD di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah ditamatkan pada 11 Jun, lebih awal daripada yang dijadualkan

Sementara itu kata Ismail Sabri, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 268 buah kilang bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sejak 1 Jun sehingga 9 Jun.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 75 buah kilang dikenakan kompaun manakala 59 lagi diarahkan tutup," ujarnya.

Dalam pada itu jelasnya, kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke Wilayah Persekutuan Labuan bermula 10 Jun sehingga 30 Jun ini.

Mengulas isu berkaitan, seramai 907 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP pada Rabu.

Daripada jumlah itu, seramai 877 individu dikompaun, 28 direman manakala dua lagi dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (208), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (148), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (147), tiada penjarakan fizikal (123),  tidak patuh arahan kawalan pergerakan (81), membawa penumpang berlebihan (79), aktiviti pusat hiburan (28), premis gagal patuhi arahan (10) dan lain-lain (83)," katanya.

Sementara itu tambah Ismail Sabri, Operasi BENTENG (Op BENTENG) pada Rabu telah merampas dua buah kenderaan darat dan sebuah bot/kapal.

"Sebanyak 75 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 18 aktiviti penglihatan.

"Op BENTENG melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 803 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam," ujarnya.

Ismail Sabri turut memaklumkan, seramai 119 warga asing telah menjalani ujian saringan dan
tiada kes positif COVID-19 direkodkan.

Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM)memaklumkan seramai 698,753 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 36,212 majikan.