KUALA TERENGGANU: Tersentuh melihat nasib pengayuh beca terutama warga emas yang terkesan akibat pandemik COVID-19, pasukan polis trafik Terengganu mengumpulkan elaun COVID-19 mereka untuk disumbangkan kepada golongan berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata golongan pengayuh beca antara yang terkesan teruk kerana aktiviti pelancongan yang menjadi sumber pendapatan mereka tidak beroperasi.

"Pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang menjalankan rondaan lalu lintas sering melihat golongan pengayuh beca yang majoritinya terdiri daripada golongan warga emas tidak mempunyai pelanggan.

"Simpati dengan nasib mereka, pasukan JSPT melancarkan kutipan daripada elaun COVID-19 yang diterima mereka membeli barangan keperluan dapur untuk disumbangkan kepada pengayuh beca terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan semangat dan keprihatinan yang ditunjukkan pegawai dan anggotanya dan berharap dapat menjadi ikutan pihak lain termasuk orang ramai.