PUTRAJAYA: Kes harian COVID-19 tempatan semalam menunjukkan sedikit penurunan, iaitu sebanyak 20,923 kes positif, menjadikan kes kumulatif sebanyak 4,122,004 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, hanya 115 kes atau 0.55 peratus dalam kategori 3, 4 dan 5.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, 20,695 kes atau 96.2 peratus melibatkan warga negara tempatan, manakala baki 790 kes, atau 3.8 peratus adalah bukan warga negara.

Kes yang memerlukan rawatan di ICU ialah sebanyak 302 kes, di mana 141 disahkan covid-19, 161 lagi kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Bagi perincian kes kategori 3, 4, dan 5, Dr Noor Hisham berkata, 33 kes tidak menerima sebarang vaksinasi, 48 kes tidak menerima dos penggalak, dan 34 kes sudah menerima dos penggalak.

Sehingga 12 tengah malam semalam, kadar R-Naught nasional ialah pada 0.93, dengan Selangor merupakan negeri tertinggi iaitu 1.08, diikuti Perak (0.97), Sarawak (0.94), Melaka dan Kuala Lumpur (0.93), dan Negeri Sembilan (0.89),

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, bilangan penggunaan katil Kes Kritikal atau ICU di Kuala Lumpur adalah sehingga 70%, diikuti Putrajaya (67%), Johor (59%), Pulau Pinang (57%), dan Selangor (53%)
Putrajaya mencatat penggunaan katil Bukan ICU  tertinggi iaitu 76%, diikuti Selangor (70%), WP Kuala Lumpur (59%), Melaka (57%), Terengganu (56%), Sarawak (51%), dan Perak (50%).

Beliau berkata, terdapat perbezaan di antara data harian kemasukan kes COVID-19 ke hospital berbanding kes COVID-19 kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari.

“Ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti COVID-19.

“Pada masa yang sama, terdapat juga kes-kes COVID-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya lagi.